Wednesday, June 6, 2012

HISTORY



SEJARAH ANYAMAN

     Anyaman adalah satu tradisi yang tidak mengalami pengaruh dari luar. Perkembangan sejarah anyaman adalah sama dengan perkembangan seni tembikar. Jenis anyaman penghasilan tali, rumah dan keperluan kehidupan kebanyakannya wujud pada zaman Neolitik. Bahan dan alat daripada akar dan rotan adalah dilihat sebagai bahan asas terawal yang digunakan untuk penghasilan anyaman. Menurut Siti Zainun dalam buku Reka bentuk kraftangan Melayu tradisi menyatakan bahawa pada zaman pemerintahan Long Yunus (1756-94) di negeri Kelantan, hanyalah raja yang menggunakan bahan anyaman yang dipanggil “Tikar Raja”. “Tikar Raja” ini dibuat daripada pohon bemban.

     Negeri yang menjalankan aktiviti anyaman ialah negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Sarawak, dan Sabah. Beberapa buah negeri masih terus aktif menjalani aktiviti anyaman di peringkat kampung. Antaranya ialah daerah Rusila, Dungun, Kampung Kijing, Kampung Ru Renggoh, Cendering dan Kuala Ibai di negeri Terengganu.

     Pada zaman dahulu, aktiviti anyaman banyak dilakukan dan dikerjakan oleh wanita untuk mengisi masa senggang dan bukan sebagai mata pencarian utama. Hasil kraf tangan boleh dijadikan sebagai hadiah untuk anak saudara atau sahabat handai sebagai tanda kasih. Seorang wanita yang tidak mahir dalam seni anyaman pada zaman dahulu akan dianggap sebagai seorang yang tidak mempunyai sifat kewanitaan yang lengkap. Pada waktu wanita sedang menganyam, lelaki hanya menolong menetap daun dan memprosesnya. Aktiviti anyaman selalu dilakukan secara individu atau secara kecil-kecilan yang merupakan satu usaha ekonomi bagi orang-orang di kampung. Hasil anyaman bermutu tinggi bagi memenuhi keperluan pelanggan. Hasilan anyaman tidak terkongkong dalam bentuk tradisional sahaja tetapi ciptaan dimensi baru dari segi rupa dan bentuk, warna dan corak, teknik dan bahan sering diubah-ubahkan mengikut peredaran zaman dan cita rasa pelanggan.

     Seni kraftangan adalah hasil seni yang dicipta untuk digunakan, tetapi digubah dengan memasukkan unsur-unsur seni untuk memberi bentuk yang indah dan menarik hati. Penciptaan kraftangan itu memerlukan keahlian dan kecekapan dalam penggunaan bahan-bahan asas yang teratur sejak dari proses awal hinggalah sesuatu hasil kraftangan itu tercipta. Proses penciptaan kraftangan tersebut memerlukan daya estetika demi untuk memberikan rekabentuk yang indah dan menarik.

     Seni anyaman adalah suatu bentuk kraf yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat Melayu dan rumpun nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika merupakan jenis yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman.

     Menganyam merupakan proses menjalin jaluran daun, lidi, rotan, akar, buluh dan beberapa jenis tumbuhan yang lain. Beberapa jenis reka bentuk kraftangan dihasilkan melalui nyaman demi untuk mencipta sesuatu alat keperluan harian contohnya menghasilkan topi, tudung saji, bakul dan menganyam tikar untuk mengalas tempat duduk.

     Estetik dikaitkan dengan istilah nilai-nilai keindahan, termasuk di dalamnya makna, antara lain elok, molek, cantik, anggun, bagus, lembut, utuh, seimbang, padu, bening, tenang, hampa, suram, dinamik, kukuh, hidup, gerak, hambar, sentimental dan tragik. Berekspresi estetik merupakan antara keperluan manusia yang tergolong dalam keperluan budaya, keperluan ini terhasil kerana faktor dorongan dari dalam diri manusia yang secara asasi sentiasa ingin merefleksikan keradaannya sebagai makhluk yang bermoral, berakal fikiran dan berperasaan.

     Keperluan estetik, baik secara langsung mahupun tidak langsung, terserap dalam kegiatan-kegiatan untuk memenuhi keperluan lainnya, sama ada keperluan primer, sekunder, ataupun keperluan budaya lainnya, yang berkaitan dengan perasaan baik dan benar, adil dan tidak adil serta masuk akal atau sebaliknya. Apabila menjelaskan makna estetik maka ia banyak dibincangkan berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan menekankan aspek fungsional serta kecanggihan objek tersebut. Manakala apabila menjelaskan makna kreatif dalam sesuatu hasil kesenian Melayu, kerap pemaknaan penghasilan hanya dilingkungi hasil pengamatan serta manifestasi kreatif pandai kraf terhadap alam Melayu.

     Pada zaman dahulu, seni anyaman boleh dijadikan dinding rumah, alat keperluan harian dan sebagainya. Tetapi, kebanyakan karya seni anyaman hanya boleh dijadi sebagai alat hiasan dan tradisi ini kurang disuka oleh remaja pada hari ini. Anyaman adalah kesenian yang bersifat lahiriah, mempunyai makna yang dalam dan kewujudannya merupakan wadah pemaparan idea yang melibatkan pancaindera penglihatan, pendengaran, pemikiran dan kesedaran secara seimbang sebagai symbol yang memberi makna yang tersendiri dalam masyarakat berhubung dengan adat, agama, kepercayaan, adab, perasaan, corak pemikiran dan falsafah hidup orang Melayu. Tradisi ini haruslah diteruskan supaya satu gaya yang popular boleh diwujudkan.

No comments:

Post a Comment